Tuesday, June 17, 2008

Ayah..Masihku ingat...

Cerita kali ini masih lagi berkisar mengenai ayah. Sempena hari bapa ini, aku ingin mencoretkan kenanagn terakhirku bersama dengan arwah…

Ayah..
Aku masih ingat, ayah mula diserang stroke ketika aku berada di tahun akhir matrikulasi UiTM. Ketika itu, aku sedang menghadapi peperiksaan akhirku. Ibu tidak pernah berputus asa mengubati ayah. Sehinggalah ayah boleh berjalan semula walaupun terhinjut-hinjut dan dibantu dengan tongkat. Tidak mengapa, mungkin itu satu permulaan yang baik.

Ayah,
Aku masih ingat, selepas hari raya pada tahun 2004 doktor telah mengesan kandungan asid di dalam badan ayah terlalu tinggi. Sehinggakan pada bulan 12, ayah telah dimasukkan ke wad selama beberapa hari. Dan ayah juga telah dikesan mempunyai masalah pada buah pinggang. Bila mendapat khabar itu, aku segera balik ke kampung. Sesampai sahaja di perhentian bas, abang iparku telah menjemputku dan lantas aku terus dibawa ke hospital berjumpa ayah. Ayah..alangkah sedih aku melihat ayah tika itu. Tapi masa tu ayah masih mampu tersenyum untukku. Aku janji dengan ayah aku akan meluangkan masa dan menjaganya di hospital. 3 hari aku bersama dengan ayah di hospital. Dan pada hari ketiga ayah sudah meminta untuk keluar dari hospital. Kata ayah, ayah semakin sakit bila di sini. Doktor menyarankan agar ayah ditebuk di bahagian lehernya untuk tujuan rawatan penyakitnya. Tapi ayah tidak mahu. Dan akhirnya pada hari ke 4 ayah dibenarkan pulang dengan bersyarat. Aku tidak sampai hati meninggalkan ayah walaupun ayah telah dibenarkan pulang. Dalam perjalanan pulang ke rumah, berkali-kali ayah muntah disebabkan asid yang terlalu tinggi. Ayah kata ayah ok, itu cuma perkara biasa.. Aku tahu, ayah cuma ingin menyedapkan hati kami.

Ayah,
Masihku ingat, pelbagai makanan yang sepatutnya ayah dilarang makan..ayah tetap berdegil memakannya. Kami marah ayah. Tapi..bukan sebab kami tidak mahu menuruti kehendak ayah..bukan ayah..kami saying ayah..kami tidak mahu ayah sakit lagi.. Tapi ayah lebih pandai. Jika kami tidak boleh bagi ayah semua tu, ayah keluar dengan adik ayah, dan waktu itulah segala kemahuan ayah dituruti. Ayah..rupa-rupanya..selera ayah yang makin bertambah merupakan satu petanda buat kami. Cuma kami saja yang tidak menyedarinya..

Ayah,
Masihku ingat, pada cuti Hari Raya Cina, Februari 2005, aku pulang lagi ke kampung. Aku rindu padamu ayah. Masa tu ibu memberitahu yang selera makan ayah semakin berkurangan. Seperti biasa setiap kali aku pulang, ayah pasti mahukan aku yang memotong kukunya dan menyuapkan makanan. Aku ingat lagi ayah, pada malam itu, aku yang menemani mu tidur di bilik mu. Malam itu tiba-tiba aku rasa diperhatikan. Bila aku menoleh ke
arah mu di atas katil, ayah sedang duduk sambil menjuntaikan kaki ke bawah dan memerhatikan ku. Bila aku tanya, ayah kata ayah tidak boleh tidur. Ayah suruh aku sambung tidurku. Aku langsung tidak memikirkan kemungkinan-kemungkinan lain.


Ayah,
Masihku ingat, sebelum aku berangkat, ayah mahukan aku menyuapkan apam berkuah untuknya. Aku suapkan ayah dan ayah begitu berselera memakannya. Bila aku memberitahu ibu yang ayah begitu berselera, ibu kata mungkin sebab ayah dah lama tak makan apam berkuah. Sebelum aku pergi aku mencium tangan ayah. Dan paling menyedihkanku ayah menghantar pemergianku dengan pandangan yang sukar untuk aku tafsirkan.

Ayah,
Masihku ingat, suatu hari aku menelefon ibu bertanyakan khabarmu. Masa tu ramai yang datang ke rumah. Aku bimbang, aku tanya ibu, ayah sakit ke. Ibu kata ayah macam biasa. cuma mungkin saudara kita dah lama tak berjumpa dengan ayah. Keesokan harinya hari Isnin, aku baru sahaja selesai mesyuarat. Masuk sahaja library, mereka memberitahu yang kakakku menelefonku, ada hal penting katanya. Belum sempat aku menelefonnya semula, telefonku dah berdering. Dengan suara yang agak berlainan kakakku memberitahuku supaya pulang segera dan ayah berada di dalam keadaan tenat. Ya Allah…sedihnya hanya Tuhan yang tahu. Aku segera menelefon suamiku yang ketika itu adalah tunangku untuk menghantarku pulang ke kampung dengan segera. Sedang aku menunggunya di bawah tiba-tiba aku mendapat sms dari abang sepupuku yang mengatakan ayah telah tiada… 4.05 petang (21 Mac 2005, Isnin) ayah telah menghembuskan nafasnya yang terakhir..tanpa aku di sisi...

Ayah,
Patutlah masa di hospital ayah asyik melihat jari-jari ayah.Seolah-olah sedang menghitung sesuatu. Bilaku pandang perbuatan ayah, ayah seolah-olah memandang ke arah lain..
Patutlah pada malam aku menemani ayah, ayah mermerhatikanku. Bila aku bertanya, ayah kata ayah tak boleh tidur..
Dan patutlah pada hari tu ayah makan begitu berselera bila aku menyuapkan ayah..
Dan patutlah ayah menghantar pemergianku dengan pandangan yang berbeza..
Rupa-rupanya itulah kali terakhir kita berjumpa…
Dan rupa-rupanya itu jugalah kali terakhir aku menyuapkan ayah...

Ayah,
Aku amat menyayangimu. Kahilangan ayah amat menyedihkanku. Sehinggakan aku sering bermimpikanmu ayah. Dan sehingga kakakku risaukan tentang kesihatanku. Dan setiap kali aku melihat lelaki sebaya mu, aku seolah-olah melihat wajahmu. Tapikan ayah, anakmu ini pandai..aku tidak pernah menunjukkan rasa sedihku di hadapan kawan-kawanku di ofis. Setiap kali aku teringatkanmu, aku akan cepat-cepat berlari ke toilet..di sanalah aku akan melepaskan tangis rinduku..
Sehingga kini, masihku ingat satu persatu saat-saat terakhir aku bersamamu dan sehinggalah ayah dimasukkan ke liang lahad…

Ayah,
Doaku..moga ayah bahagia di sana..Amin.