Saturday, May 24, 2008

Renungan..


Wanita dan Harta Dalam Islam
(Siti Fatimah binti Abdul RahmanFellow Kanan, Pusat Ekonomi dan Kajian Sosial04/08/2006 ) Utusan Malaysia

Kes 1: "Saya bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri. Tetapi suami terlalu mengongkong saya tentang bagaimana saya membelanjakan pendapatan saya itu sehingga saya tidak dibenarkan untuk memberi wang kepada ibu dan bapa saya. Akibatnya saya terpaksa sorok-sorok memberikan wang itu kepada mereka. Macam mana, ya Ustazah?"
Kes2: "Puas hati dapat beli kasut tu. Harganya pun berpatutan sempena jualan murah ni. Saya dah lama tak beli kasut. Tapi kasut baru ni kena simpan di ofis dulu. Kalau tahu dek ‘cik abang' mesti dia marah, ni!"
Kedua-dua kes ini adalah kisah benar yang pernah ditemui oleh penulis sendiri. Ia menunjukkan betapa pendapatan yang diperolehi oleh wanita hasil dari titik peluh mereka sendiri tidak lagi menjadi milik mutlak mereka. Sebaliknya, ada orang lain - suami-suami yang keliru - yang menentukan apa yang patut dan tidak patut mereka lakukan dengan wang tersebut. Sedangkan dalam Islam, wang dan harta wanita adalah hak mutlak mereka dan mereka bebas membuat keputusan mengenainya.
Kedua-dua kes yang penulis temui ini tentunya bukanlah kes yang terpencil. Ramai wanita yang menghadapinya cuma sama ada mereka mahu mengakuinya ataupun tidak.
Mengapa ini berlaku? Dari pemerhatian penulis ini berlaku akibat pendekatan sesetengah pihak yang bila membincangkan tentang hak wanita terhadap harta, perbincangan yang menyeluruh tidak dilakukan. Sebaliknya, perbincangan menjurus kepada dua perkara sahaja. Pertama, wanita perlu menjaga harta suami dengan sebaik-baiknya. Kedua, hak wanita dalam harta pusaka yang jumlahnya lebih kecil dari apa yang diperuntukkan untuk lelaki.
Kedua-dua perkara ini memang penting untuk wanita ketahui. Namun, ada perkara lain yang juga penting tetapi jarang dibincangkan. Misalnya, wanita boleh berusaha untuk mengumpul harta tanpa berharap kepada pusaka semata-mata. Wanita juga boleh memperbanyakkan harta mereka dengan mengusahakannya atau mengupah orang lain mengusahakannya. Termasuklah ajaran Islam bahawa pendapatan dan harta wanita adalah hak mutlak mereka dan tiada siapa yang boleh memaksa mereka melakukan apa-apa terhadap harta tersebut sekiranya mereka tidak mahu. Malah, Islam juga mengajar bahawa suami tidak boleh menggunakan wang isteri tanpa izin dan sekiranya suami meminjam wang isteri, dia wajib membayarnya.
Malah, dalam Islam, salah satu sumber harta untuk wanita ialah mas kahwin. Malangnya, harga mas kahwin wanita di Malaysia amat rendah melainkan Perak (RM110). Harta apakah yang boleh dibeli oleh wanita dengan bayaran mas kahwin itu sekiranya di hari ini segram emas berharga RM83? Apabila ada cadangan untuk menaikkan harga mas kahwin, ramai yang melenting kerana kononnya menyukarkan perkahwinan. Tetapi hakikatnya, banyak benda lain yang kita lakukan untuk membuatkan perkahwinan itu semakin sukar seperti jumlah wang hantaran yang mencapai RM5 ribu ke atas dan jumlah dulang bagi barang-barang hadiah. Tetapi, untuk menaikkan harga mas kahwin demi kebajikan dan masa depan wanita, tidak ramai yang mahu melakukannya!
Kurangnya penekanan terhadap kepentingan wanita memiliki dan mengumpul harta ini telah menjejaskan kehidupan wanita apabila mereka bergelar ibu tunggal akibat perceraian atau kematian suami. Diakui di seluruh dunia bahawa taraf hidup wanita menurun apabila berlaku kedua-dua keadaan ini. Andai sahaja penekanan diberikan kepada betapa pentingnya untuk wanita memiliki dan mengumpul harta, pastinya kesukaran-kesukaran hidup ketika bergelar ibu tunggal dapat dikurangkan.
Untuk memberi kefahaman yang lebih jelas tentang hak-hak wanita terhadap harta dalam Islam, Jabatan Pembangunan Wanita, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan bekerjasama dengan IKIM untuk menganjurkan Seminar "Pembelaan Hak Wanita Melalui Kefahaman Mengenai Harta Dalam Islam" pada 8 - 9 Ogos ini. Selain itu, seminar ini juga akan menyentuh tentang pelaburan masa depan, undang-undang berkait dengan harta, pengurusan harta agar dapat dimanfaatkan oleh waris dan kemahiran pengurusan kewangan peribadi. Semoga maklumat-maklumat ini dapat dimanfaatkan oleh wanita demi kejahteraan mereka di dunia dan akhirat.

No comments: